Dalam
keghairahan kita memperkatakan kehebatan Al-Quran dan Hadis yang kini banyak telah dibuktikan kebenaran-kebenaran kenyataannya secara Saintifik, kita sering keliru atau tidak dapat membezakan antara sebab
dan hikmah, sehingga pernah saya mendengar sahabat saya mengatakan, makan babi
diharamkan dalam Islam kerana telah terbukti secara saintifik, babi mengandungi parasit-parasit berbahaya yang boleh mendatangkan wabak penyakit. Tetapi peliknya, kalaulah babi diharamkan makan sebab boleh menyebabkan penyakit, kenapa Islam membenarkan umatnya untuk makan babi ketika dalam keadaan darurat? dan juga, Mualaf yang dulu pernah makan minum berkilo-kilo benda haram tu macamana pula? Takkan lah dioranng masuk Islam terus segala penyakit dan kuman-kuman tadi hilang begitu sahaja?
Kita perlu sedar dan faham bahawa,
sebab apa kita ikut apa sahaja ketetapan dan hukum-hakam yang yang datang
daripada Rasul, hanya ada satu tujuan atau satu sebab sahaja iaitu kerana Allah
yang suruh atau Allah yang larang. Dan Rasul sebagai
utusan Allah lah yang menyampaikan segala titah perintah Allah itu kepada kita.
Kita ini semua hambanya, seorang hamba kena ikut perintah tanpa soal. Kalau
setiap hukum itu mesti dicari penjelasannya dari segi rasional dan logik, mahu
dibuktikan dengan sains terlebih dahulu baharu kita yakin akan kebenarannya,
maka ketahuilah kita sudah keliru. Seperti contoh tadi, babi diharamkan memakannya kerana Allah yang kata haram, tetapi jika sekiranya dalam keadaan terdesak, Allah membenarkan juga kita makan sedikit sekiranya memang sudah tidak ada makanan lain.
Satu
perkara yang perlu kita ingat, sebarang ilmu yang datang daripada kajian
manusia, boleh terdedah kepada banyak kesilapan, kalau tidak pun ia boleh
berubah-ubah. Banyak teori-teori sains yang dahulunya menjadi pegangan namun
akhirnya berubah setelah kajian demi kajian dibuat, saintis yang terkemudian
akan datang dengan teori baru. Ada teori baru yang memperbaiki teori lama, ada
juga yang melengkapkan teori-teori terdahulu, dan tidak sedikit juga
teori-teori baru yang memansuhkan teori-teori terdahulu. Sebagai contoh dulu
para cendikiawan mengatakan bumi ini adalah rata dan berpenghujung, sedangkan
saintis yang kemudian berkata bumi ini bulat, contoh lain adalah model struktur atom yang telah berubah-ubah sehingga banyak model-model atom
yang terdahulu sudah tidak diguna pakai lagi. Begitulah juga ilmu-ilmu kajian
manusia yang lain, semuanya terdedah kepada kesalahan. Kenapa perkara sebegini terjadi? ini semua kerana kelemahan akal manusia. Bahkan mengikut kajian saintifik sekalipun membuktikan otak manusia mempunyai beberapa kelemahan yang tidak boleh di atasi. Anda boleh mengikuti siri Brain Games Channel National Geographic untuk melihat bukti-bukti kelemahan otak manusia.
Al-Quran adalah kalam Allah, yang datang daripada Allah melalui
Rasul dengan perantaraan malaikat Jibril a.s. Sesuatu yang datang daripada Allah sudah pasti terpelihara daripada kesilapan dan kesalahan. Walaubagaimanapun, jika kita terlalu taksub dengan pegangan teori sains dan logik akal manusia yang lemah, maka akhirnya kita nampak seolah-olah Al-Quran dan Hadis pulak yang salah. Ini disebabkan kita telah menggunakan Sains atau logik akal sebagai neraca untuk menimbang isu kandungan Al-Quran dan Hadis. Al-Quran dan Hadis-Hadis yang sahih, sudah pasti adalah benar walaupun secara logik atau sains, nampak bercanggah. Apabila bertembung atau bercanggah antara sains dan Al-Quran, maka sebagai orang Islam kita wajib meletakkan Al-Quran dan Hadis paling atas sekali. Oleh kerana itu
mengaitkan ayat-ayat Al-Quran dengan Sains adalah sesuatu yang patut
diwaspadai. Sainslah yang kena ikut Al-Quran, bukan Al-Quran yang kena ikut sains. Sekiranya pendapat Sains bercanggah dengan Al-Quran, maka pendapat itu wajiblah kita tolak, dan Al-Quranlah yang kita genggam dan gigit erat-erat.
Tidak dinafikan, ada
kajian-kajian yang seolah-olah selari dengan sesuatu hukum Islam. Namun kita tidak boleh mengatakan itulah sebabnya. Kalau benar sekalipun itu hanyalah layak dikatakan
sebagai hikmah sahaja, bukannya sebab. Sebab utama kita buat itu ini dalam hal-hal agama adalah hanya kerana samaada Allah suruh atau Allah larang. Hikmah dan sebab berbeza. Memang benar, setiap yang Allah perintah dan larang itu pasti ada hikmah yang tersembunyi, walaubagaimanapun janganlah sampai kita salah faham sehingga mengatakan itulah sebabnya. Hikmah itu ibarat macam bonus, kita buat apa yang Allah suruh dan tinggal apa yang Allah larang itu sudah cukup untuk menjadikan kita sebagai seorang hamba yang taat, dan sekiranya Allah mahu beri lebih maka akan terzahirlah hikmah-hikmah disebalik perlaksanaan kehambaan kita itu tadi. Hikmah adalah perkara harus bagi Allah. Dia harus menjadikan atau tidak menjadikan perkara-perkara harus. Ada yang bersedekah bertambah kaya, ada juga yang tidak kaya-kaya. Ada yang berpuasa, sihat walafiat, ada juga yang rajin puasa tetapi diuji dengan penyakit. Namun, selagi kita tidak meletakkan tujuan bersedekah untuk menjadi kaya, berpuasa supaya sihat, dan apa sahaja ibadat-ibadat yang kita lakukan kita niatkan pada matlamat yang betul iaitu lillahi taala. Pasti kita akan tenang dan tenteram.