KALAU DI TANYA ANAK CUCU YANG SUDAH AKIL BALIGH YANG BARU MAHU BELAJAR TENTANG AL-QURAN
MAKA JAWAB SEPERTI INI..
T: Terangkan secara ringkas tentang Al-Quran?
J: Al-Quran ni ialah Kalam Tuhan yang merupakan Mukjizat Nabi terakhir Muhammad yang diwahyukan melalui Malaikat Jibril. Kalam Tuhan bukan bermaksud Tuhan tu berkata-kata dalam bahasa Arab.Malaikat Jibril yang menyampaikan kepada Nabi Muhammad dalam bahasa Arab, sebagaimana Jibril menyampaikan kepada nabi-nabi lain mengikut bahasa masing-masing seperti Taurat diturunkan dalam bahasa Ibrani/Hebrew. Tuhan berkata-kata macamana? Hanya yang pernah berkata-kata dengan Tuhan yang tahu seperti para malaikat dan nabi-nabi terpilih seperti nabi Musa dan Nabi Muhammad.
T: Adakah kitab Al Quran ini di bawa oleh Jibril dan diberikan kepada Nabi Muhammad?
J: Bukan, kesemua ayat-ayat Al-Quran diwahyukan secara beransur-ansur, setiap kali turun ayat, nabi suruh sahabat catat (Nabi tidak pandai menulis dan membaca) dan hafaz. Kemudian pada zaman khalifah Abu Bakr baharu dikumpulkan semua jadi satu kitab.
T:Bagaimana ayat-ayat Al Quran tu diwahyukan kepada Nabi Muhammad?
J: Ada bermacam cara, antaranya:
1. Jibril terus memasukkan ke dalam hatinya
2. Wahyu sampai dalam keadaan nabi berada dalam keadaan begitu berat menerimanya, seperti diserang demam panas, keringat bercucuran (Rujuk riwayat Zaid bin Thabit, penulis wahyu bagi Nabi Muhammad)
3. Jibril merupakan dirinya serupa lelaki dan menyampaikan ayat Al Quran
4. Jibril menampakkan rupa sebenarnya dan menyampaikan ayat Al Quran
T: Ayat-ayat Al Quran diturunkan secara beransur-ansur, berapa lama kesemua ayat-ayat Al-Quran diturunkan sampai selesai?
J: 23 Tahun, 13 Tahun di Mekah dan 10 Tahun lagi di Medinah (Setelah Hijrah). Ayat-ayat yang diturunkan di Mekah dinamakan ayat-ayat Makkiyah, manakala ayat-ayat yang diturunkan di Medinah dinamakan ayat-ayat Madaniyyah.
T: Kenapa diturunkan secara beransur-ansur, kenapa bukan sekaligus?
J: Wallahualam, antara hikmah diturunkan secara beransur-ansur ialah:
1.Agar mudah difahami dan dilaksanakan, jika turun sekaligus orang akan enggan patuh pada suruhan dan larangan, sebagaimana kita hari ini yang dapat Al-Quran sudah lengkap, tetapi ramai dari kalangan kita yang tidak mematuhi segala hukum-hakam yang terdapat di dalam Al-Quran berbanding para sahabah yang mendengar ayat-ayat Al-Quran secara beransur-ansur.
2. Memudahkan penghafalan, sebelum nabi wafat Al-Quran sudah dihafal oleh ribuan umat Islam.
3. Turun sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa-peristiwa dan asbab-asbab yang berlaku, ini akan menambahkan lagi kefahaman (Tujuan turun ayat) serta keberkesanan pengaruh ayat terhadap kehidupan, dan juga membantu dalam menguatkan hafazan. Dalam pengajian tentang Al-Quran, tujuan diturunkan ayat dinamakan asbabun nuzul.
4. Di antara ayat-ayat ada yang merupakan jawaban daripada pertanyaan, penolakan suatu pendapat atau perbuatan, yang menunjukkan aplikasi ayat-ayat di dalam kehidupan. Kata Ibnu Abbas, hal ini tidak akan tercapai jika Al-Quran di turunkan sekaligus.
T: Al Quran sudah di wahyukan keseluruhannya sebelum Wafat Nabi Muhammad, tapi kenapa Al Quran tidak dibukukan sebelum Nabi Muhammad Wafat?
J: Al Quran tidak dibukukan semasa riwayat Nabi Muhammad kerana pada masa itu bangsa Arab belum berjumpa Teknologi penghasilan kertas, mereka yang pandai menulis dan membaca hanya menuliskan pada batu, pelepah kurma, daun, tulang dan kulit binatang. Setelah wafat nabi, di zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakr, Negara Islam berinteraksi dengan Tamadun Parsi, dan mempelajari penghasilan kertas. Walaubagaimanapun, hafalan Al Quran ketika Nabi masih hidup adalah seragam di kalangan para sahabat, begitu ramai yang hafaz Al Quran, sehingga jika ada yang mahu mengubah, sudah pasti akan ketahuan.
T : Jadi bagaimana Al Quran di pelihara pada masa hayat Nabi Muhammad?
J : Melalui 3 cara:
1. Hafalan dari mereka yang Hafaz Al Quran, mereka menghafal Al Quran kerana mengikut suruhan Nabi Muhammad, sehingga Al Quran di hafal oleh ribuan manusia.
2. Nabi melantik beberapa orang sebagai penulis wahyu bagi Nabi,antaranya Zaid bin Thabit. Pada masa itu Al Quran dituliskan pada batu, kulit bintang, pelepah kurma dan tulang-tulang binatang.
3. Kalangan Muslimin yang tidak di lantik jadi penulis peribadi Nabi, juga mencatatkan ayat-ayat Al Quran sebagai simpanan peribadi mereka. Jadi selain hafal Al Quran mereka juga menyimpan tulisan ayat-ayat Al Quran. Mereka juga menggunakan media yang sama kerana belum terdapat kertas. Tindakan ini juga berlaku kerana nabi yang suruh tulis selain dari menghafal.
Berkenaan penulisan, Nabi menetapkan peraturan, hanya Al-Quran yang boleh ditulis, ini bagi memelihara Al-Quran bercampur aduk dengan wahyu-wahyu lain iaitu hadits qudsi serta lain perkataan, perbuatan dan pengakuan/penafian yang datang dari Nabi.Tapi perlu diingat, larangan penulisan hadis ini hanya pada semasa hayat Nabi.
Susunan Ayat-ayat Al-Quran,batas tiap-tiap Surat, juga diajarkan oleh Nabi Muhammad. Setiap Tahun akan ada pengulangan oleh Jibril tentang ayat-ayat yang telah dibacakan, dan Nabi pula sering ulang dengar ayat-ayat Al Quran yang telah dihafal oleh para sahabah. Pada ketika Nabi Wafat, Al Quran telah sempurna diturunkan kesemuanya, dihafal oleh ribuan manusia, dan telah dituliskan kesemuanya oleh ribuan orang juga.
T: Al-Quran tidak dibukukan semasa hayat nabi, jadi macamana kemudian dibukukan pula?
J: Pembukuan Al Quran adalah ilham Saidina Umar. Setelah Nabi Muhammad wafat, ramai dari kalangan muslim yang tidak kuat imannya telah murtad, ada juga golongan yang enggan mengeluarkan zakat, serta ada pula yang terpedaya dengan Nabi Palsu. Jadi tindakan Saidina Abu Bakr setelah diangkat menjadi khalifah, beliau telah memerangi golongan-golongan ini. Natijahnya, ramai di kalangan para sahabat yang hafal Al-Quran telah gugur syahid.
Pada mulanya, Saidina Abu Bakr keberatan, kerana perkara itu tidak disuruh oleh Nabi Muhammad. Kemudian Saidina Umar memujuk lagi sehingga Abu Bakr menerima pendapatnya. Barulah Saidina Abu Bakr memanggil penulis wahyu Nabi iaitu Zaid bin Thabit. Sama juga halnya, Zaid pada mulanya keberatan, namun akhirnya ditakdirkan, terbuka jua hatinya.
Dengan di saksikan oleh 2 orang, Zaid mengumpulkan tulisan-tulisannya yang terdahulu dari pelepah kurma, batu, tulang, kulit binatang dan juga dari sahabat-sahabat yang hafal Al-Quran. Walaupun Zaid sendiri hafal Al-Quran, dia berbuat begitu agar berlaku semak dan imbang antara hafalan dan tulisannya, dengan hafalan dan tulisan para sahabat yang lain.
Zaid kemudiannya menulis Al-Quran dalam lembaran-lembaran dan diikat, menjadi sekumpulan lembaran-lembaran dan diserahkan kepada khalifah Abu Bakr, Lembaran itu kemudiannya diserahkan kepada Saidina Umar setelah Abu Bakr wafat, dan setelah Umar wafat, Lembaran itu disimpan oleh anaknya Hafsah yang juga Isteri Nabi, sebelum diserahkan kepada Saidina Uthman dan pada zaman pemerintahan Saidina Uthman di piawaikan kaedah penulisannya mengikut dialek suku Quraisy kerana Nabi dari Suku Quraisy.
T: Kenapa kaedah penulisan Al Quran di piawaikan semula mengikut dialek suku Quraisy pada zaman pemerintahan Saidina Uthman?
J: Huzaifah ibnu Yaman setelah pulang dari ekspedisi melebarkan empayar Islam, melaporkan kepada khalifah Saidina Uthman, berlaku pertelingkahan ringan dikalangan umat Islam tentang perbedaan bacaan Al Quran, ini kerana Nabi sendiri memberi kelonggaran kepada berbagai suku arab untuk melafazkan Al Quran ikut dialek masing-masing, dengan tujuan untuk memudahkan mereka menghafal Al Quran. Lagi pula, naskah-naskah Al Quran peribadi yang mereka catit pada masa hayat nabi tidak sama susunan surat-suratnya.
Saidina Uthman pun mengambil Lembaran Al Quran yang telah dibina di zaman Saidina Abu Bakr dari Hafsah binti Umar untuk disalin. Beliau mengarahkan Zaid bin Thabit untuk mengetuai tugas menyalin dari lembaran-lembaran tersebut untuk dijadikan satu buku. Uthman menegaskan sepanjang melakukan tugasan ini harus berlaku semak dan imbang dengan ramai para penghafaz Al Quran yang juga bertindak selaku saksi. Kemudian setelah selesai, Uthman mengarahkan agar semua salinan ayat Al Quran persendirian di bakar supaya tidak timbul lagi masalah di kemudian hari. Tinggallah Al Quran yang dibukukan oleh Saidina Uthman dijadikan sebagai piawaian untuk membuat salinan-salinan Al Quran di seluruh pelusuk dunia.
Al Quran yang telah dibukukan itu dinamakan Al Mushaf. Walaupun penulisan dalam Al Mushaf dipiawaikan ikut suku dialek Quraisy, tapi kaedah bacaan(qiraat) lain masih di benarkan. Sehingga sekarang qiraat termashyur ada 12.
T: Mungkinkah terdapat penyelewengan semasa membukukan semula Al Quran?
J: Tidak mungkin, kerana sebelum Al Quran di kumpulkan semasa zaman Saidina Abu Bakr, dan pembukuan pada zaman Saidina Uthman, ada 2 perkara yang menjadi semak dan imbang iaitu :
1. Ribuan orang yang telah menghafal Al Quran, antara mukjizat Al Quran ialah mudah di hafal, kanak-kanak yang belum baligh saja mampu menghafal, bahkan golongan orientalis musuh Islam juga ada yang hafal Al Quran. Sekiranya Al Quran tidak dibukukan sekalipun, Al Quran akan sampai kepada kita melalui hafalan para Hafiz Al Quran.
2. Ribuan orang yang telah menyimpan tulisan ayat-ayat Al Quran yang boleh menyemak Al Quran yang telah dibukukan.
Yang berbeza hanyalah susunan diantara Surat-Surat dalam tulisan peribadi mereka yang kemudiannya telah dipiawaikan oleh Khalifah Saidina Uthman mengikut yang di beri garis panduan oleh Nabi Muhammad, itupun sebenarnya ramai yang sudah sedia maklum dan menjadi saksi akan panduan susunan surat-surat itu.
3. Al Quran pula tidak berlegar hanya pada orang-orang tertentu sahaja dalam negara, tetapi di hafal dan disimpan oleh ribuan orang dari berbagai suku yang berbeza ideologi, tetapi tidak pernah berlaku pertelingkahan tentang perbezaan ayat-ayat Al Quran. Ayat-ayat yang dibacakan adalah seragam semua, hanya kaedah bacaan yang diberi kelonggaran mengikut dialek masing-masing. Seperti kalau satu fakta sahih dan viral pada zaman sekarang, dan diketahui oleh ramai orang, adalah susah untuk memutarbelitkan fakta tersebut lagi.
T: Tafsir Al Quran tu macamana pula?
J: Tafsir Al Quran adalah tafsiran ulama(bijak pandai Islam yang diakui kepakarannya oleh bijak pandai Islam yang lain pula) terhadap ayat-ayat Al Quran seperti Ibnu Abbas, Jalaluddin, Thabari, Ibnu Kathir, Hamka dan ramai lagi. Mereka memiliki ilmu tentang hadis-hadis nabi, sebab-sebab turun ayat, peristiwa-peristiwa di sebalik penurunan ayat, syarahan dari para sahabah tentang keterangan sesuatu ayat, pengetahuan mendalam tentang ilmu bahasa arab, yang melayakkan mereka untuk berijtihad dan menghasilkan tafsiran mereka tentang ayat-ayat Al Quran.
T: Hadis-hadis Nabi tu macamana pula?
J: Hadis ialah segala perkataan, perbuatan, pengakuan dan penolakan Nabi yang tidak dituliskan semasa Nabi masih hidup, tetapi di hafal dan simpan oleh para sahabat. Hadis ini ada beberapa tingkatan atau martabat, paling tinggi ialah hadis mutawatir iaitu ramai yang meriwayatkan sehingga tidak mungkin berlaku penipuan kerana ramai yang tahu tentang hadis tersebut. Ada juga hadis-hadis palsu yang di reka-reka, dan hadis ini ada bidang khusus yang membahaskannya.Walaupun Hadis tidak dibenarkan tulisannya semasa hayat Nabi, namun setelah Al Quran dibukukan dan semakin tersebar luas, Hadis yang ada pada dada para sahabat, tabiit dan tabiin ditulis dan dibukukan dan sampai kepada kita sekarang. Hadis-hadis penting, sebab didalamnya terdapat keterangan-keterangan tentang ayat Al Quran, seperti bagaimana tatacara melakukan solat, dalam Al Quran tidak diberitahukan tatacara melakukan solat, hanya diberitahu kewajipan melakukan solat.
T: Terjemahan Al Quran tu sama dengan Tafsir Al Quran kah?
J: Tidak, terjemahan Al Quran ibarat macam alih bahasa daripada bahasa Arab kepada bahasa-bahasa lain. Kita tidak akan mampu memahami Al Quran dengan membaca terjemahan semata-mata kerana seperti yang dikatakan tadi Al Quran pelu di fahami dengan melihat penerangan tentang maksud ayat pada hadis-hadis nabi yang sahih, sebab-sebab turun ayat, peristiwa-peristiwa di sebalik penurunan ayat, syarahan dari para sahabah tentang keterangan sesuatu ayat, serta pengetahuan mendalam tentang ilmu nahu bahasa arab. Jika tidak makna sebenar ayat Al Quran boleh disalah tafsir atau disalah guna oleh pihak tertentu seperti ajaran sesat, pengganas dan musuh-musuh Islam.
T: Al Quran diturunkan secara beransur-ansur, tetapi bagaimana pula yang sering dikatakan Nuzul Al Quran di mana Al Quran di turunkan pada bulan Ramadhan?
J: Quran diturunkan oleh Allah s.w.t pada 17 Ramadan yang disebut Malam Qadar. Diturunkan Al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sekali gus ( 30 juzuk ) dan secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan kepada Nabi s.a.w.
Firman Allah S.W.T:
" Sesungguhnya Kami(Allah) telah menurunkan Al-Quran pada Malam Qadar".
Selamat Hari Nuzul Quran 1442H/2021M